Monday 1 September 2014

[DISINI LAHIRNYA SEBUAH CINTA ~ MERDEKAKAH KITA?]

Belum terlambat rasanya saya nak ucapkan salam kemerdekaan kepada semua rakan-rakan susur galur MFMS, rakan-rakan FB dan semua pembaca blog ni. Semoga anda semua diberkati.

Menghayati erti kemerdekaan hari ni, saya rasa terpanggil untuk buat entri ni...luahan saya sebagai seorang rakyat Malaysia.

MERDEKA dalam erti kata yang sebenar, bukanlah tiket untuk kita melakukan apa yang kita suka. Semerdeka mana pun tanah air bertuah ini, sebebas mana pun kita...tidak membawa makna apa-apa...selagi jiwa dan akal kita masih terbelenggu dengan pemikiran penjajah.

Walaupun mereka tidak lagi berkuasa di bumi bertuah ini, namun mereka tidak meninggalkan kita begitu saja. Masih ada yang berbaki di sini...budaya dan pemikiran mereka masih bertapak di jiwa dan minda kita.

Budaya menzahirkan perasaan cinta pada kekasih, budaya tarian, budaya berpakaian dan sebagainya. Kita ikut warisan mereka ini dan panjangkan pada generasi akan datang.

Jadi, siapa yang kita nak salahkan bila timbul gejala sosial dan kepincangan dalam masyarakat kita?  
Photo: 14/8/14 - MAYAT seorang bayi perempuan yang cukup sifat dan masih bertali pusat ditemui di dalam sebuah longkang belakang deretan rumah teres kira-kira jam 9 pagi tadi di Taman Seri Sg Pelek,Sepang.Menurut Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Mohd Yusoff Awang berkata,mayat bayi yang dianggar dua kilogram itu telah dijumpai oleh penduduk di situ.Menurutnya lagi,hasil pemeriksaan awal ke atas mayat bayi yang berkulit cerah itu menemui kesan calar pada dahinya dipercayai terkena batu pada longkang.Mayat bayi itu telah dihantar ke Hospital Serdang untuk disiasat.

*suami saya share pic & info ni dgn saya.. Sedih sgt tgk nasib si kecik ni.. Longkang akhirnya tmpt terakhir dia.. Xsanggup nk bayangkan betapa siksanya dia sewaktu dicampak di longkang ni dgn kepala dgn bdn terhentak dkt batu longkang itu.. Lepas tu mungkin lemas dgn air longkang yg kotor tu.. Allahuakbar..
Semoga si perlaku dpt hidayah drpd Allah Taala..

via ~ Sista Anne
Bayi yang dibuang...
Budaya yang diagung-agungkan
Kita yang salah. Kita biarkan jiwa dan akal kita dijajah. Kita biarkan diri kita menjadi hamba pada mereka atas alasan kemodenan. Kita hidup berkiblatkan cara hidup yang tidak baik. Itu pilihan kita.

Kita tersilap. Mereka cukup maju dari sudut ilmu dan teknologi. Kenapa yang tu kita tak nak ikut? Bukan kita perlu sujud di kaki mereka pun... tapi perhambaan kita dalam bentuk yang lain. Perhambaan hakiki kita tetap pada Yang Empunya alam ini. Bukan pada penghuninya.

Semerdeka manapun kita...satu yang harus kita pegang...kita tetap hamba pada Yang Esa. Itu jangan kita lupa.

Menyorot sejarah kemerdekaan lalu...erti kemerdekaan Tanahair tercinta ini bukanlah sesuatu yang mudah dicapai. Ia melalui proses dan rundingan yang sangat panjang. 
SETIAUSAHA Tanah Jajahan, Alan Lennox Boyd (kiri) menandatangani perjanjian yang dicapai dalam perundingan merdeka dengan Tunku Abdul Rahman di London.

Detik jam 12 malam 30 Ogos 1957 yang lalu menyaksikan ribuan rakyat dari segenap pelosok negeri hadir untuk menyaksikan peristiwa bersejarah itu.

Barisan hadapan dipenuhi dengan kaum ibu yang mengendong bayi. Lampu dipasang menjadikan seluruh padang bermandikan cahaya.

Muka depan Akhbar The Malay Mail

Saat bendera Union Jack diturunkan, lagu "God save the Queen" dimainkan. Manakala lagu Negaraku mengiringi bendera Persekutuan Tanah melayu tatkala dinaikkan dengan penuh gemilang.

Akhbar Berita Harian memaparkan berita kemerdekaan Tanahair
Diberitakan suasana sunyi sepi, hanya linangan airmata membasahi pipi mereka sejurus laungan MERDEKA dilaungkan oleh Tunku Abdul Rahman ~ Bapa Kemerdekaan kita sebanyak 7 kali. Hanya mereka yang berada di situ dapat merasai momen bersejarah itu.
Laungan keramat ~ MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!
Kalau kita tanya pada anak-anak kita hari ni, siapa penyanyi barat paling popular? Atau kumpulan hip hop atau k-pop mana yang menduduki carta teratas? Pantas mereka memberikan jawapan.

Tapi kenalkah mereka siapa Tok Naning, Mat Kilau, Tok Janggut, ulamak-ulamak seperti Sheikh Tahir Jalaluddin, Syed Sheikh Al Hadi  dan Haji Abas Taha? 

Mereka-mereka ini berjuang atas nama Politik Kesatuan Melayu Muda (KMM), Parti Kebangsaan Melayu Malaya, KRIS, API dan banyak lagi...  Ermm....kita sendiri garu kepala andai diajukan soalan begini.

Mungkin sensiviti kita sudah berkurang. Ketidakperihatinan kita dengan sejarah melayu memungkinkan kita merobek tangkai hati mereka yang berjuang bermati-matian satu ketika dulu. 

Bermaknakah laungan merdeka kita hari ni bilamana Jalur Gemilang itu dipersendakan...dikenakan di tubuh seorang wanita sebagai kain kemban dengan aksi lucah? Tidak sensitifkah kita bila Jalur Gemilang itu dijadikan pengalas dulang penghidang minuman keras?

Lupakah kita pada darah mereka yang mengalir dalam perjuangan memerdekakan Tanah Melayu? Bagaimana pula dengan tangisan mereka-mereka yang kehilangan insan-insan tersayang dalam perjuangan meletakkan bendera Persekutuan Tanah Melayu itu di takhtanya?

Walaupun Jalur Gemilang itu hanya sehelai kain yang berwarna warni, ia mengandungi seribu pengertian yang amat mendalam. 

Ketahuilah...sesungguhnya disitulah letaknya nilai patriotisme dalam diri kita yang mengaku rakyat Malaysia yang cintakan Tanahairnya.

Disini lahirnya sebuah cinta...
Cukup merdekakah kita hari ini?

0 comments:

Post a Comment