Tuesday 30 September 2014

KADANG-KADANG KITA TAK SEDAR

Wang syiling jatuh di hadapan seorang lelaki yang sedang asyik membancuh simen. Melihat logam kecil itu, tangan lelaki itu terhenti melakukan kerja.


Tidak menunggu lama, tangannya segera mengutip syiling itu dan dimasukkan ke dalam poketnya. Dia menyambung semula kerjanya.

Sekali lagi lelaki itu terpandang duit syiling tidak jauh dari sisinya. Lelaki itu menoleh ke kiri, kanan dan sekelilingnya. Tiada siapa yang berdekatan dengannya. Sekali lagi dia terus mengambil syiling itu dan menyimpannya dalam kocek.

Tidak lama kemudian, lelaki itu ternampak lagi duit syiling berdekatan dengannya. Pun sama, dia mengambil dan menyimpannya. "Rezeki aku!" Kata lelaki itu dalam hati.


Lelaki itu tidak sedar, logam syiling itu sebenarnya dicampakkan oleh ketuanya dari aras lapan bangunan separuh siap yang mereka bina itu. Sebenarnya ketuanya itu mahu memanggilnya.

Puas ketuanya menjerit dari aras lapan, cuba memanggil lelaki itu yang  berada pada aras paling bawah. Namun jeritan itu tidak mampu mengalahkan pelbagai bunyian mesin di kawasan pembinaan tersebut.

Dek kerana itulah, ketuanya mencampakkan syilingnya dengan harapan lelaki itu akan mendongak melihatnya di atas. Mudah-mudahan dapatlah dia menyampaikan pesanan kepada pekerjanya itu.

Sayangnya, sehingga habis wang syilingnya dibaling ke bawah, lelaki itu masih belum juga mendongak ke atas.

Lantas, ketuanya itu mengumpulkan serpihan batu kecil yang terdapat di lantai. Satu persatu batu kecil itu dibaling ke bawah. Beberapa kali batu itu mengenai badan lelaki itu.

Setelah merasa sakit, lelaki itu mendongak ke atas, melihat dari mana datangnya batu-batu kecil yang jatuh tadi.

Barulah dia ternampak kelibat ketuanya yang sejak tadi cuba mencuri perhatiannya bagi menyampaikan pesanan.

Cuba kita renung sejenak...

Allah sering menjatuhkan rezeki (syiling), rahmat atau kesenangan yang tidak terkira banyaknya kepada kita. Allah menjatuhkan "syiling" itu sebagai satu panggilan agar kita sentiasa mendongak ke atas untuk mengingati dan bersyukur dengan kurniaanNya.

Tetapi acap kali kita lalai untuk "mendongak" ke atas, sebaliknya terus menikmati pemberiannya tanpa rasa bersyukur.

Kalau hari ini kita sakit terkena batu-batu kecil tersebut, dongaklah ke atas. Mungkin ada antara batu-batu itu menjadi pembuka pintu rezeki kita hari esok. Siapa tahu...

Seperti  kisah di atas, apabila jatuhan "syiling" tidak berjaya menarik perhatian, lalu dia jatuhkan pula "batu" yang berupa musibah, kegagalan, keperitan dan pengalaman yang menyakitkan.

Supaya, bila kita merasa kesakitan itu, barulah kita teringat untuk mendongak, menadah tangan untuk bersyukur mengingati Yang Maha Pencipta itu.


Kadang-kadang kita tak sedar, kan?


Kalau anda rasa entri ini bermanfaat, silalah like & share supaya manfaat itu dapat kita kongsi beramai-ramai.

Zeta
SID1152058

1 comment: